Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

5 Kelebihan Lompat Kerja Daripada Syarikat Lain Ke Syarikat Lain

5 Kelebihan Lompat Kerja Daripada Syarikat Lain Ke Syarikat Lain

Mungkin ramai yang bercadang selepas tamat belajar, ingin dapatkan pekerjaan dengan gaji yang lumayan atau setimpal dengan kelayakan sijil yang diperoleh. Tetapi realiti sukar ditelan apabila kini agak sukar untuk dapatkan bayaran seperti yang dimahukan.

Ada syarikat yang tidak mampu untuk gajikan pekerja setimpal dengan sijil yang diperoleh. Sebagai individu yang inginkan pekerjaan, terpaksa juga untuk menerima demi kelangsungan hidup untuk dapatkan pekerjaan.

Tetapi sebenarnya anda boleh dapatkan bayaran atau tangga gaji yang diingini sekiranya anda sudah mampu untuk bekerja dengan baik iaitu dengan 'lompat kerja'.

5 Kebaikan Dan Kelebihan Lompat Kerja

Jika anda berhasrat untuk bertukar angin, ini antara lima kebaikan lompat kerja yang bakal anda dapat.

#1 - Pengalaman Luas Dalam Pelbagai Bidang

Bagi yang kerap bertukar kerjaya tentu sahaja anda miliki banyak pengalaman daripada pelbagai industri dan syarikat. Ini kerana anda terdedah dengan pelbagai cara kerja, peraturan dan situasi untuk menghadapi sesuatu cabaran.

Dengan pengalaman yang anda peroleh di tempat kerja lama memberi peluang untuk anda menyumbang idea baharu dan menyalurkan proses kerja yang lebih produktif.

#2 - Mempunyai Rangkaian Kerjaya Yang Luas

Selalunya orang yang kerap bertukar kerjaya mempunyai ramai kenalan profesional. Dengan dunia perniagaan yang berkembang pesat, keperluan kenalan profesional amatlah penting malah ia boleh memberi banyak manfaat dalam membantu kerjaya anda pada masa akan datang

#3 - Peluang Mendapatkan Gaji Yang Lebih Tinggi

Antara sebab utama seseorang bertukar kerjaya adalah kerana ingin menaik taraf kadar gaji. Mungkin gaji di tepat lama agak rendah dan tidak berbaloi dengan usahanya selama ini.

Jadi selepas beberapa ketika, sudah pasti golongan yang suka bekerja ini ingin melalui suasana baru yang mempunyai kadar gaji yang lebih tinggi. Antara yang anda boleh buat adalah lompat daripada syarikat lain ke syarikat lain.

#4 - Memiliki Kemahiran Kerja Yang Bagus

Mereka yang kerap lompat kerja berpeluang untuk menyerlahkan potensi diri di tempat kerja baru dengan menunjukkan sikap atau kemahiran yang bagus seperti fleksibiliti, cepat menyesuaikan diri dan juga sering dianggap sebagai pekerja yang berani mengambil risiko.

Namun, tidak semua majikan sebegitu. Lain syarikat, lain pula budaya kerjanya.

#5 - Naik Taraf Kemahiran Dan Tahap Pengajian Terkini

Apabila syarikat tidak nampak potensi atau kemahiran yang anda miliki, sudah pasti jalan terbaik adalah dengan berhijrah ke syarikat yang baru.

Seperti contoh di syarikat lama anda bermula dengan Sarjana Muda, selepas itu anda menyambung pengajian ke peringkat Sarjana dan berjaya menghabiskannya. Syarikat lama mungkin tidak akan menaikkan gaji anda walaupun anda sudah mempunyai Sarjana.

Namun tidak hairanlah sekiranya anda mencuba nasib di syarikat lain, peluang untuk dinaikkan gaji lebih cerah selaras dengan pengalaman dan tahap pengajian terkini anda.