Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

7 Cara Untuk Bina Simpanan Kecemasan RM5000

Cara Untuk Bina Simpanan Kecemasan RM5000

Kita pastinya tidak boleh agak atau ramalkan apakah yang bakal berlaku di masa hadapan. Adakah ketika berlaku kejadian yang tidak diingini kita sudah bersedia daripada segi mental dan terutamanya dalam bentuk kewangan.

Ketika itu, adakah kita mempunyai simpanan yang cukup untuk tampung masalah yang dihadapi. Mungkin berlaku kemalangan atau ada antara ahli keluarga yang tiba-tiba sakit dimana kesemua ini perlukan perbelanjaan yang besar untuk teruskan kehidupan seperti biasa.

Jika tidak melibatkan nyawa, seperti sebelum ini, tiba-tiba satu dunia dilanda wabak yang menyebabkan ramai yang tidak dibenarkan bekerja sekali gus hilang mata pencarian dan akhirnya habis tabung simpanan bagi menampung perbelanjaan harian sepanjang tempoh tidak bekerja tersebut.

Tidak boleh tidak, bagi mengelakkan perkara yang lebih buruk berlaku dan seterusnya mengelakkan berlakunya kebocoran pada duit gaji bulanan, kita perlu buat tabungan duit kecemasan dengan nilai yang diperlukan.

7 Cara Untuk Bina Simpanan Kecemasan

Ini antara teknik dan cara mudah menyimpan duit RM5,000 atau 6 bulan gaji untuk tujuan kecemasan di masa akan datang.

1.  Kenal Pasti Perbelanjaan Setiap Bulan

Ambil satu hati khas untuk memeriksa semula segala perbelanjaan yang telah dibuat pada bulan tersebut. Pastikan segala resit tersimpan rapi. Jika berlaku lebihan perbelanjaan, buat peringatan. Periksa segala perbelanjaan yang digunakan kepada perkara yang tidak perlu

2.  Tetapkan Bajet Perbelanjaan Bulanan

Buat tetapan segala bil yang perlu dibayar. Apabila hari gaji, asingkan siap-siap agar ia tidak bercampur dengan perbelanjaan harian. Jangan tercampur atau terguna duit ini bagi mengelakkan masalah timbul

3.  Pasang Matlamat Untuk Menabung

Jika anda pernah menabung untuk memiliki barang impian, tidak salah untuk anda memasang impian memiliki dana kecemasan sebanyak RM5,000 atau 6 bulan gaji. Sekurang-kurangnya simpanlah RM300 setiap bulan atau 10% daripada nilai gaji anda.

4.  Utamakan Diri Sendiri Dahulu

Setelah selesai membayar bil, yang tinggal hanyalah baki untuk perbelanjaan harian. Anda pasti rasa tidak cukup dengan baki yang tinggal. Jadi duit kecemasan inilah sebenarnya ganjaran untuk anda gunakan di kemudian hari.

Tidak perlu anda bersusah payah di masa akan datang apabila ada keperluan mustahak yang memerlukan duit.

5.  Simpan Duit Kecemasan Dalam Akaun Lain

Pastikan simpanan dana kecemasan disimpan di tempat yang tidak boleh diusik. Contohnya anda simpan dalam Amanah Saham Berhad (ASB). Prosedur mengeluarkannya juga leceh dan terhad. Jadi ini secara tidak langsung membantutkan hasrat anda untuk mengeluarkan duit.

6.  Simpan Bila Dapat Duit Bonus

Ramai orang apabila mendapat duit bonus akan membelanjakan wang tersebut hingga habis dalam masa yang singkat. Cuba fikirkan keadaan kecemasan di masa hadapan apabila anda memerlukan wang.

Lebih baik jika duit bonus tersebut dilaburkan dan 'beranak' agar ia boleh berkhidmat semula pada anda suatu hari nanti.

7.  Gandakan Simpanan Apabila Capat Matlamat

Memang ia satu kejayaan apabila anda berjaya menyimpan RM5,000, tetapi itu tidak bermakna anda boleh membelanjakan wang tersebut sesuka hati.

Jika tiada keperluan terdesak, biarkan ia tersimpan rapi dan jangan sekali usik wang ini kerana ia adalah dana kecemasan. Jika anda boleh berdisiplin menyimpan sebanyak ini, tidak sukar untuk anda membuat tetapan untuk menyimpan lebih banyak duit kecemasan